Monday, May 26, 2025

Retak Dalam Bayangan

Beberapa hari kemudian, suasana antara mereka menjadi senyap dan renggang. Hani mula menyedari sesuatu yang pelik. Laila kelihatan tidak seperti biasa. Tidak lagi bergurau, tidak lagi memberi cadangan. Matanya sering tunduk, suaranya tenggelam, atau... tiada langsung.

Di pondok usang di belakang rumah Bob, tempat mereka sering berkumpul, keheningan pecah tiba-tiba.

Kenapa kau je yang semua orang dengar? Kau bukan ketua kumpulan pun, Hani!” jerit Laila, suaranya bergetar dengan kemarahan yang dipendam.

Hani tergamam, nafasnya tersekat. Faris melangkah ke depan, cuba menenangkan:

Laila, kita semua penting. Hani cuma........

Kau pun sama, Faris! Asyik sokong dia je! Bila giliran kita yang lain?

Suasana membeku. Yang lain diam membatu, mata beralih sesama sendiri. Kata-kata Laila seperti belati yang menusuk satu per satu.


Laila, si pemilik loket nenek yang bersinar terang, kini hanyut dalam bayangan perasaan tidak dihargai. Seolah-olah semua sumbangannya terpadam oleh sinar nama-nama tertentu. Dia rasa... tertinggal.

Sementara itu, Bob dan Danish mula bertengkar. Ketegangan yang selama ini terpendam akhirnya meluap.

Kau tengok saja buku tu, Danish! Tapi kau tak pernah berdiri depan-depan dengan Makhluk Bayang!” bentak Bob, nafasnya kasar.

Dan kau pula tak faham. Satu langkah silap, kita semua boleh mati. Ini bukan filem aksi, Bob!” balas Danish dengan tegas.

Suasana mula retak. Persahabatan yang dulunya rapat kini penuh garis halus yang hampir patah.

Nia, si pendiam yang jarang bersuara, memandang ke arah semua dengan mata yang penuh harapan dan kesedihan.

Pak Embun pilih kita sebab kita satu. Kalau kita mula renggang… pintu seterusnya akan buka tanpa penjaga.


 Dan seperti satu sumpahan yang terpenuhi, malam itu, di ruang bawah tanah rumah Bob, buku hitam terbuka sendiri. Angin dingin menyelubungi bilik. Api biru menyala di tengah helaian kertas.

Di muka surat itu tertulis:

“PINTU KEDUA: ALAM CERMIN”
Tempat bayangan menunjukkan sisi paling gelap dalam diri manusia.


 Aiman, yang selama ini memimpin dengan logik dan tenang, kini kelihatan cemas. Dia berdiri di sisi buku yang menyala dan berkata perlahan:

Kalau kita masih begini… pintu tu tak akan tertutup. Malah, ia akan gunakan retakan kita untuk terus hidup.

Semua menoleh.

Dalam segenap diri mereka… kini terpantul satu kebenaran iaitu musuh sebenar mereka bukan hanya dari alam lain. Tapi juga dari dalam diri sendiri.

Dan kini, untuk menutup pintu kedua, mereka perlu menyatukan semula hati yang telah pecah.

Atau... tenggelam dalam bayangan diri selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment